Saturday, June 15, 2013

:: DiDuiTan ::

Kata awak dan mereka.

Duit bukan segalanya. Tidak semua perkara yang boleh dibeli dengan duit.

Kata saya.

Mungkin awak dan mereka tidak pernah rasa susah tidak ada duit. Untuk naik bas kita perlukan duit. Untuk pastikan perut kita terisi kenyang kita perlu duit untuk membeli makanan. Untuk ada baju yang selesa untuk tutup badan manusia perlukan duit. Untuk ada tempat berlindung dari hujan dan terik mentari perlukan duit untuk beli rumah.

Kata awak dan mereka.

Duit tidak boleh beli kasih sayang. Duit tidak mampu beri kebahagiaan.

Kata saya.
Berapa ramai keluarga yang porak peranda kerana kemiskinan? Berapa ramai yang tersenyum bahagia fikir duit untuk membayar belanja makan, duit sekolah anak, duit bulanan kereta, duit uitiliti dan bayaran-bayaran lain.

Ah, pandangan saya berbeza. Katalah apa sahaja. Mata duitan. Tamak. Tak semua benda boleh dibeli dengan duit. Tapi hampir semua benda kena dibayar pakai duit. Oh, masuk tandas di kompleks beli belah pun dicaj 20 sen.

p/s: saya selalu doa untuk jadi kaya supaya saya boleh beri duit untuk beri makan, pakaian dan rumah untuk yang tidak mampu.

p/s: kalau saya kaya, mahu jugak untuk tubuh satu pasukan bola di serdang yang lengkap dengan kemudahan stadium, padang latihan dan akademi macam pasukan di Eropah.

:: Pesan Pesan Untuk Direnungi ::


Untuk malam ini, andaikan sahaja ada satu angin nyaman yang mengetuk hati untuk merenung langit ke angkasa tinggi. Memaksa mata untuk melihat gugusan bintang dan planet di galaksi bima sakti.

Malam ini malam muhasabah diri. Malam untuk merenung kembali detik-detik perjalanan diri. Sedar atau tidak, sudah hampir 23 tahun Yang Maha Esa beri ruang dan peluang untuk diri terus bernafas menabur bakti mencari bekalan untuk sebuah kehidupan kekal abadi.

Dan aku.

Kalau dilihat untuk hampir 23 tahun perjalanan ini, sudah beribu kisah diri yang tercoret. Ada coret yang manis untuk diingati. Ada coret yang pahit yang terkadang rasa mahu ditangisi. Ada momen indah yang mencuit hati. Ada juga momen suram yang mengguris sanubari.

Pengalaman.

Kata orang, jauh berjalan luas pemandangan. Dan aku mula mengerti kata-kata keramat itu. Dan makin jauh aku berjalan, makin banyak yang aku perlu tahu sebenarnya. Semua silap salah yang pernah terjadi, itu aku kira khilaf diri yang tidak sempurna. Perlahan-lahan, berpandukan salah yang pernah terlukis, aku cari jalan betul untuk bentuk diri jadi manusia berguna.

Terima Kasih Ya Allah. Untuk rahmat. Untuk nikmat. Untuk segala kasih sayang. 


p/s: Tajuk macam tak kena. 

Saturday, June 8, 2013

:: Melangkah ::


Untuk semester baru yang akan bermula.

Tadi pagi usai bangun tidor yang nyenyak, terus aku dengan penuh semangat mengemas barang-barang dan baju-baju sambil-sambil sapu bilik di asrama lama yang jadi bilik tumpangan. Dia punye rajin senang kabo kalau bakal mak mertua datang merisik terus terase nak buat kenduri kahwin tak payah nak tunggu majlis tunang ikut adat orang melayu.

Dan, setelah memastikan bilik bersih dan berkilau, maka dengan perlahan, mula mengangkut barang dan baju untuk dihantar ke mahallah penginapan rasmi.

Tatkala tiba di aras enam, hati rasa lain. Dengan langkah yang diatur, kaki dibawa ke sebuah bilik tempat rasmi untuk tidur, makan, mandi, belajar dan apa jadah lagi selama empat bulan yang mendatang.

Sampai di depan pintu, nombor bilik ditenung. Nafas ditarik dalam-dalam. Berat-berat tangan menyeluk kocek lantas mengambil kunci. Pintu bilik dibuka.

Terdiam sebentar. “ Masih bersih macam dua bulan masa hari terakhir di sini.” Gua monolog.

Dengan kiri dan kanan tangan padat dengan beg dan barang, perlahan-lahan duduk di katil sambil memandang isi bilik. Tenung satu-satu katil, almari, meja, tilam.

Itu jam, dunia rasa terhenti. Macam duduk dalam panggung wayang, secara tiba-tiba terbit visual. Di semester yang lepas, ada macam-macam perkara yang dibuat bersama rakan bilik. Ternampak bayang diri sedang bermain ‘game’ sambil dileteri rakan bilik yang akan suruh belajar. Ternampak bayang diri yang sedang solat berjemaah di waktu subuh bersama rakan bilik.

Ternampak juga bayang diri bersama rakan bilik sama-sama duduk di bawah sambil makan. Ada juga bayang diri yang sama-sama menonton siri ‘runningman’ bersama rakan bilik. Di meja belajar, teringat akan kenangan bangun seawal jam 4.30 pagi untuk mengulangkaji bersama rakan bilik. Dan yang paling teringat, dileteri oleh rakan bilik tatkala terlupa letak kunci bilik sambil sama-sama mencari sampai jumpa.

Nafas panjang dihela. Kaki didorong ke tepi tingkap lantas menguak tingkap keluar. Di balik butir cahaya yang menerjah masuk, akur dengan resam hidup. Permulaan akan ada pengakhiran. Kenangan-kenangan itu akan disimpan sebagai satu momen hidup yang penuh pelangi.

Semester baru. Rakan yang baru. Cabaran yang baru. Ayuh mara.


p/s: catatan mungkin akan dilimitasi selepas ini untuk mengurusi perihal-perihal belajar.

Sunday, May 26, 2013

:: Kelak Aku Tua ::


Tuhan aku mohon.

Kelak nanti aku tua
Jadikan aku si tua
Yang berlapang dada
Ditegur oleh si muda.

Tuhan aku mohon.

Kelak nanti aku tua
Jadikan aku si tua
Yang boleh dijadi teladan
Untuk panduan si muda.

Tuhan aku mohon.

Kelak nanti aku tua
Jadikan aku si tua
Yang kehadirannya
Dirai si muda
Kehilangannya
Dihargai baik si tua mahupun si muda.

Saturday, May 25, 2013

:: SomeDay ::



This is what i called
Nostalgic.
Truly said
Nothing can beat the 90's
Where the music is made up from beautiful voice and lyrics.
Ah, wish there is a rewind button where i can go back to the 90's.
Someday.

Thursday, May 23, 2013

:: Detik Dua Pagi ::


Aku terjaga.
Di dalam malam yang pekat hitamnya
Wajah ku raba.
Hati cuba mencerna.
Di tengah ruang yang gelita
Paparan kehidupan dijana minda.


Dan aku
Terpempan melihat dosa
Sungguh aku rasa hiba
Mengenang diri yang terus bergelumang noda
Sedang yang maha pencipta
Terus beri rezeki tanpa kira apa.


Ku bangkit.
Pili air dipulas
Sejadah di bentang.


Tuhan.
Di gelap malam tanpa cahaya.
Ku berdoa
Agar kau maafkan hambamu yang pendosa.

Wednesday, May 22, 2013

:: Mengkritik FAM siri 1 ::

Semenjak kebelakangan ini, kritikan semakin meningkat yang ditunjukkan oleh penyokong bola sepak Malaysia membuktikan betapa revolusi juga perlu berlaku terhadap bola sepak Malaysia. Mungkin semangat #inikalilah atau #tukar boleh di guna pakai dalam usaha untuk bola sepak Malaysia kembali duduk sama rendah berdiri sama tinggi kalau pun tidak untuk ke Piala Dunia, mungkin ke arena Piala Asia atau Sukan Asia.

Dalam usaha ini, berbagai cara telah dibuat. Ada secara terang-terangan. Sebagai contoh Ultras yang dengan padunya menghadiahkan sebuah lagu FAM Bangsat buat FAM bagi menzahirkan ketidakpuashatian terhadap FAM yang gagal dalam membangunkan bola sepak Malaysia supaya menjadi sebuah Negara yang digeruni seperti di zaman emas akhir 60-an hingga awal 80-an.


Tetapi yang lebih menarik, kehadiran yang sebuah buku yang mungkin aku boleh katakan tidak salah kalau FAM mahu jadikan sebagai sebuah ‘blueprint’ dalam merangka kembali perjalanan bola sepak Malaysia yang secara jujur lagi berterus terang seperti budak-budak bermain polis sentri atau sukaneka yang peraturan boleh sewenang-wenang ditukar.

Dalam hal ini, syabas buat Lucius Maximus yang menulis buku ‘Cerita Malaysia Tidak ke Piala Dunia’ yang mana pada pandangan aku satu tumbukan K.O terus kepada FAM mengenai cadangan dan idea dikemukakan di akhir buku tersebut.

Seperti contoh, jumlah pasukan dalam liga yang sering bertukar-tukar. Tahun ini, mungkin di liga super pasukan ditetapkan kepada 15. Tetapi tahun depan pasukan dikurangkan menjadi 13 dan ada mungkin ditambah semula kepada 14. Ini agak memeningkan terutama kepada perancangan pasukan yang bertanding dan juga kesan kepada pendedahan perlawanan bersifat kompetitif yang perlu dihadapi oleh pemain dalam usaha untuk meningkat skill dan juga kecergasan.

Jarang sekali kita mendengar liga-liga utama di dunia seperti di England, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Belanda yang akan mengubah jumlah pasukan yang bertanding di liga utama setiap kali musim baru akan bermula. Hanya di Malaysia.

Kedegilan FAM yang tidak mahu mendengar pandangan ikhlas dari peminat merumitkan lagi. Mendabik dada dengan angkuh seolah hanya mereka yang tahu bagaimana pasukan bola boleh diuruskan menambah rasa jengkel penyokong yang telah lama meluat dengan FAM. FAM seolah-olah telah terlupa peranan utama mereka dalam aspek pembangunan, penyelidikan dan pemantapan pasukan bola sepak negara.

Artikel 88 yang kontroversi  tidak akan membantu langsung di dalam pembangunan bola sepak Negara. Sekadar pandangan peribadi, Artikel 88 FAM sekadar membuktikan betapa FAM sebuah persatuan yang bersifat bodoh sombong yang tidak boleh menerima kritikan langsung dari mana-mana pihak walau dari Ahli Majlis tertinggi mereka sekalipun.

Buat sementara ini, kajian masih lagi aku buat tentang bagaimana pasukan bola sepak Malaysia boleh dimajukan. Siri-siri cadangan dan kritikan akan menyusul lagi. Jauh di sudut hati, mengharap mungkin tanpa sengaja FAM terbaca pandangan-pandangan dan kritikan yang dilempar.


Selamanya Sokong Malaysia.