Sunday, June 30, 2013

:: KuRaNg ::


Mungkin.
Kita perlu mula kurang berkata
Dan mula melaksana.
Dan mungkin.
Dalam melaksana
Kita cuba kurangkan drama.

Eh?

Dan mungkin.
Penting untuk kita
Kurangkan juga mengata
Tapi menambah zikir untuk Maha Esa.
Kurangkan dosa.
Tambahkan pahala.
Rumus global buat dunia.

Sunday, June 16, 2013

MengkriTik FAM siri 2 : Liga Bolasepak


Artikel ini ditulis selepas menonton piala Frenz yang berkesudahan Frenz B menang ke atas Brunei 3-1. Sambungan kepada mengkritik FAMsiri 1.

Untuk mempunyai sebuah pasukan bola yang kuat, sesebuah Negara itu haruslah mempunyai pemain yang baik. Untuk menghasilkan pemain yang baik, kita ada beberapa pilihan. Satu dengan menghantar pemain beraksi di luar negara. Satu lagi, dengan mempunyai liga yang berkualiti.

Pilihan yang pertama mungkin akan membabitkan kos yang tinggi. Dengan urusan visa, passport, tempat tinggal dan sebagainya. Kalau kita memilih pilihan yang kedua, ia boleh sahaja dilaksanakan dalam satu jangka masa yang singkat.

Mempunyai liga yang berkualiti mampu menjamin prestasi mantap pasukan bola negara. Sebagai contoh, ambil sahaja pasukan Juara Dunia 2010. Hampir kesemua pemain yang memenangi Piala Dunia di dalam pasukan Sepanyol merupakan pemain dari pasukan Barcelona dan Real Madrid yang bermain di dalam Liga Primera Sepanyol.

Iker Casillas, Sergio Ramos, Xabi Alonso, Iniesta, Xavi dan beberapa nama diambil dari liga negara mereka sendiri. Ini membuktikan betapa tidak semestinya menghantar pemain ke luar negara mampu membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang kuat. Dengan sistem liga yang kemas dan teratur, di samping uruscara yang professional tanpa terlalu banyak campur tangan politik, tidak mustahil Liga Malaysia mampu menghasilkan pemain yang boleh membantu Malaysia untuk menjulang Piala Dunia.


Namun begitu, yang menjadi masalah, sistem liga kita lebih berpandukan kepada negeri dan wilayah persekutuan di samping beberapa kelab yang kadang-kadang ada kadang-kadang hilang begitu sahaja. Jika mengambil kira jumlah pasukan yang ada sekarang, percayalah, kita tidak akan kemana.

Ini kerana, kita tidak akan mempunyai sebuah kolam sumber yang besar. Pasukan liga super contohya hanya ada sebanyak 14 pasukan. Jika dikalikan dengan 25 orang setiap pasukan, kita akan hanya ada 350 pemain di peringkat tertinggi. Ini jauh berbeza jika kita mempunyai 18 pasukan atau 20 pasukan di dalam liga super.

Di Malaysia, jika dilakukan kajian, terdapat sekurang-kurangya 50 buah daerah yang mempunyai populasi penduduk melebihi  150,000 orang. Itu belum diambil kira sebagai contoh daerah Petaling yang mempunyai populasi melebihi 2 juta orang dengan terdapat 4 bandar besar di dalam daerah. Jadi, di daerah Petaling sahaja kita boleh mendapatkan 4 pasukan dengan prospek mempunyai kehadiran sekurang-kurangya 20,000 kehadiran penonton untuk setiap perlawanan.

Sekurang-kurangnya, paling tidak, dengan 50 pasukan kalau diambil kira pasukan bola sepak berasaskan Bandar dan daerah, kita paling tidak boleh mempunyai sistem liga 3 peringkat dengan 20 pasukan di liga utama dan baki 16/15 pasukan di liga peringkat dua dan tiga dan potensi bilangan pemain professional seramai 1250 orang berbanding sekarang ini.

Seperti yang boleh kita lihat sekarang, sistem liga berasaskan negeri tidak begitu menguntungkan bola sepak Malaysia untuk jangka masa panjang. Dan saya percaya, antara sebab yang menghalang untuk penubuhan pasukan bola sepak berasaskan daerah atau Bandar berkait rapat dengan faktor tajaan dan kewangan.

Tak mengapa. Kita sambung di siri akan datang. Kita akan cerita pasal pemain import dan kewangan. Untuk hari ini, sampai di sini dulu. Chalo.

Saturday, June 15, 2013

:: DiDuiTan ::

Kata awak dan mereka.

Duit bukan segalanya. Tidak semua perkara yang boleh dibeli dengan duit.

Kata saya.

Mungkin awak dan mereka tidak pernah rasa susah tidak ada duit. Untuk naik bas kita perlukan duit. Untuk pastikan perut kita terisi kenyang kita perlu duit untuk membeli makanan. Untuk ada baju yang selesa untuk tutup badan manusia perlukan duit. Untuk ada tempat berlindung dari hujan dan terik mentari perlukan duit untuk beli rumah.

Kata awak dan mereka.

Duit tidak boleh beli kasih sayang. Duit tidak mampu beri kebahagiaan.

Kata saya.
Berapa ramai keluarga yang porak peranda kerana kemiskinan? Berapa ramai yang tersenyum bahagia fikir duit untuk membayar belanja makan, duit sekolah anak, duit bulanan kereta, duit uitiliti dan bayaran-bayaran lain.

Ah, pandangan saya berbeza. Katalah apa sahaja. Mata duitan. Tamak. Tak semua benda boleh dibeli dengan duit. Tapi hampir semua benda kena dibayar pakai duit. Oh, masuk tandas di kompleks beli belah pun dicaj 20 sen.

p/s: saya selalu doa untuk jadi kaya supaya saya boleh beri duit untuk beri makan, pakaian dan rumah untuk yang tidak mampu.

p/s: kalau saya kaya, mahu jugak untuk tubuh satu pasukan bola di serdang yang lengkap dengan kemudahan stadium, padang latihan dan akademi macam pasukan di Eropah.

:: Pesan Pesan Untuk Direnungi ::


Untuk malam ini, andaikan sahaja ada satu angin nyaman yang mengetuk hati untuk merenung langit ke angkasa tinggi. Memaksa mata untuk melihat gugusan bintang dan planet di galaksi bima sakti.

Malam ini malam muhasabah diri. Malam untuk merenung kembali detik-detik perjalanan diri. Sedar atau tidak, sudah hampir 23 tahun Yang Maha Esa beri ruang dan peluang untuk diri terus bernafas menabur bakti mencari bekalan untuk sebuah kehidupan kekal abadi.

Dan aku.

Kalau dilihat untuk hampir 23 tahun perjalanan ini, sudah beribu kisah diri yang tercoret. Ada coret yang manis untuk diingati. Ada coret yang pahit yang terkadang rasa mahu ditangisi. Ada momen indah yang mencuit hati. Ada juga momen suram yang mengguris sanubari.

Pengalaman.

Kata orang, jauh berjalan luas pemandangan. Dan aku mula mengerti kata-kata keramat itu. Dan makin jauh aku berjalan, makin banyak yang aku perlu tahu sebenarnya. Semua silap salah yang pernah terjadi, itu aku kira khilaf diri yang tidak sempurna. Perlahan-lahan, berpandukan salah yang pernah terlukis, aku cari jalan betul untuk bentuk diri jadi manusia berguna.

Terima Kasih Ya Allah. Untuk rahmat. Untuk nikmat. Untuk segala kasih sayang. 


p/s: Tajuk macam tak kena. 

Saturday, June 8, 2013

:: Melangkah ::


Untuk semester baru yang akan bermula.

Tadi pagi usai bangun tidor yang nyenyak, terus aku dengan penuh semangat mengemas barang-barang dan baju-baju sambil-sambil sapu bilik di asrama lama yang jadi bilik tumpangan. Dia punye rajin senang kabo kalau bakal mak mertua datang merisik terus terase nak buat kenduri kahwin tak payah nak tunggu majlis tunang ikut adat orang melayu.

Dan, setelah memastikan bilik bersih dan berkilau, maka dengan perlahan, mula mengangkut barang dan baju untuk dihantar ke mahallah penginapan rasmi.

Tatkala tiba di aras enam, hati rasa lain. Dengan langkah yang diatur, kaki dibawa ke sebuah bilik tempat rasmi untuk tidur, makan, mandi, belajar dan apa jadah lagi selama empat bulan yang mendatang.

Sampai di depan pintu, nombor bilik ditenung. Nafas ditarik dalam-dalam. Berat-berat tangan menyeluk kocek lantas mengambil kunci. Pintu bilik dibuka.

Terdiam sebentar. “ Masih bersih macam dua bulan masa hari terakhir di sini.” Gua monolog.

Dengan kiri dan kanan tangan padat dengan beg dan barang, perlahan-lahan duduk di katil sambil memandang isi bilik. Tenung satu-satu katil, almari, meja, tilam.

Itu jam, dunia rasa terhenti. Macam duduk dalam panggung wayang, secara tiba-tiba terbit visual. Di semester yang lepas, ada macam-macam perkara yang dibuat bersama rakan bilik. Ternampak bayang diri sedang bermain ‘game’ sambil dileteri rakan bilik yang akan suruh belajar. Ternampak bayang diri yang sedang solat berjemaah di waktu subuh bersama rakan bilik.

Ternampak juga bayang diri bersama rakan bilik sama-sama duduk di bawah sambil makan. Ada juga bayang diri yang sama-sama menonton siri ‘runningman’ bersama rakan bilik. Di meja belajar, teringat akan kenangan bangun seawal jam 4.30 pagi untuk mengulangkaji bersama rakan bilik. Dan yang paling teringat, dileteri oleh rakan bilik tatkala terlupa letak kunci bilik sambil sama-sama mencari sampai jumpa.

Nafas panjang dihela. Kaki didorong ke tepi tingkap lantas menguak tingkap keluar. Di balik butir cahaya yang menerjah masuk, akur dengan resam hidup. Permulaan akan ada pengakhiran. Kenangan-kenangan itu akan disimpan sebagai satu momen hidup yang penuh pelangi.

Semester baru. Rakan yang baru. Cabaran yang baru. Ayuh mara.


p/s: catatan mungkin akan dilimitasi selepas ini untuk mengurusi perihal-perihal belajar.