Sunday, June 16, 2013

MengkriTik FAM siri 2 : Liga Bolasepak


Artikel ini ditulis selepas menonton piala Frenz yang berkesudahan Frenz B menang ke atas Brunei 3-1. Sambungan kepada mengkritik FAMsiri 1.

Untuk mempunyai sebuah pasukan bola yang kuat, sesebuah Negara itu haruslah mempunyai pemain yang baik. Untuk menghasilkan pemain yang baik, kita ada beberapa pilihan. Satu dengan menghantar pemain beraksi di luar negara. Satu lagi, dengan mempunyai liga yang berkualiti.

Pilihan yang pertama mungkin akan membabitkan kos yang tinggi. Dengan urusan visa, passport, tempat tinggal dan sebagainya. Kalau kita memilih pilihan yang kedua, ia boleh sahaja dilaksanakan dalam satu jangka masa yang singkat.

Mempunyai liga yang berkualiti mampu menjamin prestasi mantap pasukan bola negara. Sebagai contoh, ambil sahaja pasukan Juara Dunia 2010. Hampir kesemua pemain yang memenangi Piala Dunia di dalam pasukan Sepanyol merupakan pemain dari pasukan Barcelona dan Real Madrid yang bermain di dalam Liga Primera Sepanyol.

Iker Casillas, Sergio Ramos, Xabi Alonso, Iniesta, Xavi dan beberapa nama diambil dari liga negara mereka sendiri. Ini membuktikan betapa tidak semestinya menghantar pemain ke luar negara mampu membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang kuat. Dengan sistem liga yang kemas dan teratur, di samping uruscara yang professional tanpa terlalu banyak campur tangan politik, tidak mustahil Liga Malaysia mampu menghasilkan pemain yang boleh membantu Malaysia untuk menjulang Piala Dunia.


Namun begitu, yang menjadi masalah, sistem liga kita lebih berpandukan kepada negeri dan wilayah persekutuan di samping beberapa kelab yang kadang-kadang ada kadang-kadang hilang begitu sahaja. Jika mengambil kira jumlah pasukan yang ada sekarang, percayalah, kita tidak akan kemana.

Ini kerana, kita tidak akan mempunyai sebuah kolam sumber yang besar. Pasukan liga super contohya hanya ada sebanyak 14 pasukan. Jika dikalikan dengan 25 orang setiap pasukan, kita akan hanya ada 350 pemain di peringkat tertinggi. Ini jauh berbeza jika kita mempunyai 18 pasukan atau 20 pasukan di dalam liga super.

Di Malaysia, jika dilakukan kajian, terdapat sekurang-kurangya 50 buah daerah yang mempunyai populasi penduduk melebihi  150,000 orang. Itu belum diambil kira sebagai contoh daerah Petaling yang mempunyai populasi melebihi 2 juta orang dengan terdapat 4 bandar besar di dalam daerah. Jadi, di daerah Petaling sahaja kita boleh mendapatkan 4 pasukan dengan prospek mempunyai kehadiran sekurang-kurangya 20,000 kehadiran penonton untuk setiap perlawanan.

Sekurang-kurangnya, paling tidak, dengan 50 pasukan kalau diambil kira pasukan bola sepak berasaskan Bandar dan daerah, kita paling tidak boleh mempunyai sistem liga 3 peringkat dengan 20 pasukan di liga utama dan baki 16/15 pasukan di liga peringkat dua dan tiga dan potensi bilangan pemain professional seramai 1250 orang berbanding sekarang ini.

Seperti yang boleh kita lihat sekarang, sistem liga berasaskan negeri tidak begitu menguntungkan bola sepak Malaysia untuk jangka masa panjang. Dan saya percaya, antara sebab yang menghalang untuk penubuhan pasukan bola sepak berasaskan daerah atau Bandar berkait rapat dengan faktor tajaan dan kewangan.

Tak mengapa. Kita sambung di siri akan datang. Kita akan cerita pasal pemain import dan kewangan. Untuk hari ini, sampai di sini dulu. Chalo.

1 comment:

  1. salam blogger,blog yg cantik.,goodjob..brminat nk link kn blog dan senaraikan blog di mmber list homepage blog sy dan terbuka kepada semua blogger...sama2 dpt backlink... http://searchsecure.blogspot.com/2013/03/dapatkan-backlink-cara-mudah-rahsia-seo.html..klau brminat..text sy di entry di ats,bersama2 link blog anda..lpas da psang bnner.. happy blogging..

    ReplyDelete